Friday, 4 November 2011

Kata-kata Hikmah Untukmu...

Kata-kata hikmah ini merupakan koleksi kata-kata mutiara indah yang sesuai dijadikan motivasi dan pengisian jiwa.

1. Jangan berputus-asa kerana biasanya anak kunci terakhirlah yang dapat membuka kunci.

2. Kemahuan yang tinggi akan mengubah persepsi seseorang terhadap sesuatu sehingga yang mustahil pun boleh terjadi.

3. Lebih baik berusaha menyalakan lilin dari menyumpah kepada kegelapan.

4. Jangan takut dan segan untuk setiap tindakan yang anda lakukan.Seluruh kehidupan adalah satu ujian.

5. Orang yang berjaya ialah orang yang melakukan tindakan yang tidak mampu diimaginasikan oleh orang lain, malah tidak mampu dilakukan oleh orang besar sekalipun.

6. Sebelum mencela pasangan hidupmu, bayangkan mereka yang masih menghiba untuk dikurnia jodoh.

7. Manusia yang berjaya akan memperolehi keuntungan daripada kesilapannya, dan mencuba lagi dengan cara yang lain.

8. Berani Berkorban dan Berubah, Kejayaan adalah Ganjarannya

9. Setiap perkara ada gantinya. Setiap perlakuan ada ganjarannya. Setiap kejadian ada hikmah di sebalik kejadiannya.

10. Tiada jalan singkat untuk kita sampai ke sesuatu destinasi yang sememangnya jauh. Perjalanan tetap melibatkan langkah demi langkah dan tingkat demi tingkat.

11. Nabi Muhammad pernah berkata, (Amal yang paling disukai Allah adalah amal yang dilakukan secara terus menerus sekalipun sedikit (HR Bukhari dan Muslim daripada Aisyah)

12. Kegagalan bermakna bahawa anda belum berjaya lagi.

13. Orang yang gagal adalah orang yang tidak mampu mengurus masalah.Hanya manusia yang mampu mengurus masalah sahaja yang boleh berjaya.

14. Orang yang berjaya juga mampu menimbulkan perasaan kagum serta takjub orang lain kerana kejayaan dan kehebatannya

15. Orang yang berjaya tidak hidup di pinggir peristiwa, bukan orang yang kosong tanpa nilai dan bukan orang yang hanya menjadi pelengkap

16. Belajar dari pengalaman adalah guru yang paling baik. Jatuh pada lubang yang sama adalah suatu kebodohan.

17. Sayidina Ali menyatakan “Kalau engkau ingin menjadi raja, maka pakailah sifat qona’ah (puas). Kalau engkau ingin syurga dunia sebelum syurga akhirat, pakailah budi pekerja yang mulia”.

18. Apabila anda kaya,fikirkanlah saat-saat anda pernah miskin dahulu.

19. Antara akhlak orang yang berjaya adalah optimis dan tidak berputus asa, mampu memperbaiki kesalahannya dan keluar daripada krisis serta mengubah kerugian menjadi keuntungan

20. Baik kaya adalah kaya hati, sebaik-baik bekal adalah takwa, seburuk-buruk buta adalah buta hati dan sebesar-besar dosa adalah berdusta

21. Kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya.(Hamka).

22. Orang yang takut menghadapi kesukaran selamanya tidak akan maju. (Home)

23. Yang dikatakan kawan bukanlah orang yang sentiasa memuji-muji kamu, tetapi adalah orang yang dapat menunjukkan kesalahan kamu.

24. "Dan berbuatlah kamu akan kebaikan supaya kamu mendapat kemenangan." (Surah al-Hajj:77)

25. "Maka sifat sabar itu adalah sikap yang baik, dan hanya Allah sahajalah tempat meminta pertolongan" (Surah Yusuf:18)

26. Berunding cerdik dengan pandai, faham dua menjadi satu.

27. Yang paling kita perlukan dalam kehidupan ialah adanya seseorang yang selalu memberi semangat untuk melaksanakan hal-hal yang dapat kita kerjakan. (Davey John Schwartz)

28. Sabar penghilang penat, tekun pembawa dekat.

29. Lebih berharga mutiara sebutir daripada pasir sepantai.

30. Terbang bangau sepanjang hari, ke tasik jua akhirnya dicari.

31. Biar kamu tidak cantik di mata penduduk bumi tetapi namamu menjadi perbualan penduduk langit.

32. Siapa yang banyak bicara, banyak pula salahnya; siapa yang banyak salah, hilanglah harga dirinya; siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak warak; sedangkan orang yang tidak warak itu bererti hatinya mati. (Saidina Ali Abu Talib)

33. Sabda Rasulullah s.a.w: "Akhlak yang buruk merosakkan amal seperti cuka merosakkan madu."

34. Kita sering mengimbas kembali kenangan lalu tetapi jarang sekali berusaha untuk mengejar impian hari esok.

35. Manusia yang berbuat baik dengan mengharapkan sesuatu balasan bukanlah manusia yang jujur. Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat, asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh dengan agama Allah. (Surah Al-Baqarah:214)

36. Kekitaan yang erat tiada yang berat.

37. Jika pada awalnya anda tidak berjaya,cubalah cari kembali arah haluan yang pernah anda lemparkan ke dalam tong sampah.

38. Tunjuk menjadi telaga budi, ajar menjadi suluh hati

39. Belajarlah berdiri dahulu sebelum cuba untuk berlari.

40. Kekayaan yang hilang boleh dikejar dengan usaha yang bersungguh-sungguh.

41. Kesihatan yang hilang boleh diperoleh dengan ubat-ubatan yang baik tetapi masa yang hilang sekali hilang akan terus hilang.

42. Jadilah seperti pohon kayu yang berbuah lebat, dibaling dengan batu dibalas dengan buah.


TERIMA KASIH KERANA MENGUNJUNGI BLOG KAMI

Salam Rindu

wah... lamanya cikgu xupdates blog ni... maaflah kerana agak sibuk sejak akhir2 ni. maklum sahaja sekarang ni musim peperiksaan dan hujung tahun... banyak dokumen dan data yang perlu disiapkan... cuma cikgu nak share sesuatu untuk semua pelajar2 lepasan PMR 2011:

PERMOHONAN KEMASUKAN KOLEJ VOKASIONAL, SEKOLAH MENENGAH TEKNIK DAN SEKOLAH MENENGAH VOKASIONAL 2011

permohonan boleh dibuat secara online menerusi:
http://apps.moe.gov.my/esptv/2011/

atau datang sendiri (walk-in) ke SMV atau SMT berhampiran bermula pada 5 September 2011.Tarikh Tutup Permohonan adalah 19 Disember 2011.
Permohonan dibuat berdasarkan keputusan percubaan PMR 2011. untuk keterangan lanjut sila hubungi SMV atau SMT berhampiran atau layari web:
www.moe.gov.my/bptv

selamat memohon...
TERIMA KASIH KERANA MENGUNJUNGI BLOG KAMI

Wednesday, 21 September 2011

SENTUHAN TERAKHIR...

Salam sejahtera dan salam sayang daripada UBK SEMATES...

Akhirnya selepas berhempas pulas pihak pengelola dan PRS menyiapkan blog, maka terhasilah blog UBK SEMATES yang tidak seberapa ini. Tahniah diucapkan di atas komitmen yang diberikan dalam masa yang agak terhad ini. Semoga anda mendapat maklumat dan berpuas hati dengan blog UBK SEMATES ini.

LIHATLAH APA YANG MEREKA BUAT...





TERIMA KASIH KERANA MENGUNJUNGI BLOG KAMI

MASA SUDAH SUNTUK!

Salam sejahtera dan salam sayang daripada UBK SEMATES...

Sebentar tadi cikgu dan rakan-rakan cikgu membelek kalendar. Rupanya bulan September sudah hampir ke penghujungnya. Bulan hadapan kita bakal bertemu dengan bulan Oktober dan seterusnya bulan November dan Disember. Sedar atau tidak yang kita semakin menghampiri BULAN PEPERIKSAAN? Namun sudahkah anda bersedia untuk itu?
          Bercerita mengenai peperiksaan, tentunya peperiksaan PMR, SPM dan STPM adalah peperiksaan mega yang ‘ditakuti’ oleh ramai pelajar. Ramai yang mengatakan ianya adalah medan tempur sebenar bagi seseorang pelajar. Andalah yang akan menjadi tentera untuk bertempur bagi menentukan siapa anda di masa hadapan. Berjaya atau gagal dalam peperiksaan tersebut sememangnya akan memberi implikasi yang sangat besar kepada kehidupan masa depan anda. Tetapi dengan baki-baki hari di bulan September ini, anda boleh mula menghitung sama ada anda sudah bersedia atau sebaliknya. Bagi yang sudah bersedia, cikgu ucapkan syabas dan tahniah. Bagi yang belum berbuat apa-apa, janganlah berlengah kerana masa tidak menunggu anda. Mulalah daripada sekarang! Anda mahu berjaya ataupun tidak?
Sesungguhnya cikgu-cikgu di UBK SEMATES mendoa semoga anda semua berjaya. Selamat menduduki peperiksaan PMR, STPM dan SPM. Juga doa cikgu dititipkan buat para pelajar yang akan menduduki peperiksaan akhir tahun nanti. 

Selamat Berjaya!


TERIMA KASIH KERANA MENGUNJUNGI BLOG KAMI

KEMAHIRAN BELAJAR

Salam sejahtera dan salam sayang daripada UBK SEMATES...
Strategi Dan Teknik Pembelajaran Berkesan
Pengenalan :

Setiap manusia dikurniakan otak dan akal. Namun penggunaannya bergantung kepada manusia sama ada mahu menggunakan cara yang lebih bijak atau sebaliknya. Penggunaan otak dan akal dalam pembelajaran tentunya akan lebih efektif sekiranya menggunakan Teknik Belajar. Aplikasi teknik belajar yang betul membolehkan sesiapapun menjadi lebih bijak dan mencapai kejayaan walaupun tahap pemikiran seseorang itu lemah, sederhana ataupun ditakdirkan pandai.

Sesuatu teknik belajar yang baik akan menjimatkan masa, memudahkan kerja, menambat minat dan membolehkan kita menguasai pelajaran. Semua orang ingin mencapai keputusan yang cemerlang tetapi tidak tahu bagaimana untuk mencapainya? Stereotaip beranggapan bahawa keputusan cemerlang hanya untuk orang yang bijak pandai sahaja. Dengan demikian, mereka tak perlu lagi berusaha mencapai kecemerlangan kerana mereka bukan dari orang yang bijak pandai. Stereotaip sebegini sememangnya salah dan patut disingkirkan daripada minda seseorang yang bergelar pelajar.

Sebelum UBK SEMATES berbicara mengenai teknik belajar, kita perlu tanya kepada diri sendiri sama ada kita mempunyai niat untuk berjaya atau sebaliknya. Selain itu, kita perlu persiapkan diri kita dengan perkara-perkara berikut:

·         Suatu sistem yang teratur lagi tepat
·         Keazaman yang tinggi untuk mencapai kejayaan
·         Pegangan hidup ” Kerjanya minima tetapi hasilnya maksimum”
·         Peraturan yang teliti dan cekap. Jangan hanya membuat perancangan tetapi pelaksanaannya masih lemah.

JADUAL WAKTU?
Ramai pelajar yang membuat jadual waktu untuk belajar tetapi tidak kurang juga yang hanya sekadar membuat jadual waktu untuk hiasan dinding tanpa dipatuhi. Bagi yang mematuhinya pula mereka lebih cenderung untuk membuat diri sibuk dengan membuat pelbagai ulangkaji dan sebagainya dalam jadual waktu itu. Keadaan seperti ini boleh kita ibaratkan seperti mendulang bijih timah. Banyak prosedur yang hendak dilakukan tetapi perkara pokok yang dikehendaki hanya bijih timah sahaja. Bukannya tanah, batu, pasir, air dan lain-lain yang terdapat dalam tanah yang telah digali tadi. Ramai pelajar gagal mencari bijih timah ini tetapi lebih gemar mengali tanah yang mempunyai banyak bijih timah. Keadaan seperti ini telah menyebabkan mereka tidak mampu mendapat keputusan yang baik kerana mereka merasakan pelajaran tersebut terlalu berat untuk di bawa bersama.

SOALAN UNTUK MENCAPAI KEJAYAAN:
Untuk berjaya dalam pelajaran, jawab soalan-soalan berikut kerana ia dapat membantu mencapai kejayaan anda :
1.    Benar-benarkah anda ingin mencapai kejayaan dalam peperiksaan?
2.    Adakah anda merasakan anda tidak mampu mencapai kejayaan?
3.    Selalukah anda bertanya tentang masalah-masalah pelajaran anda?
4.    Adakah anda mempunyai jadual waktu belajar yang jelas dan teratur?
5.    Adakah anda taat kepada jadual waktu yg telah dibuat?
6.    Adakah cara anda membaca memberi anda faedah yang sepenuhnya?
7.    Adakah cara anda mengulangkaji memberi faedah yang sepenuhnya?
8.    Tahukah anda cara hendak menimbulkan minat dalam pelajaran anda?
9.    Adakah anda merasakan kerja sekolah dan isi pelajaran anda terlalu banyak?
10. Tahukah anda cara hendak mendapat faedah yang sepenuhnya dari perbincangan?
11. Pernahkah anda menilai kemahuan diri sendiri?

Setakat ini dahulu cikgu coretkan. Tunggu sambungannya lagi ye... *CiKGu SaYANg KaMU*

TERIMA KASIH KERANA MENGUNJUNGI BLOG KAMI

MENGANTUK DALAM KELAS??

Salam sejahtera dan salam sayang daripada UBK SEMATES...

Tengahari tadi cikgu masuk ke sebuah kelas. Biasanya suasana kelas itu bising tetapi hari ini lain benar. Pelajar yang suka berbuat bising itu kelihatan sedang menekup muka di atas meja. Cikgu ingatkan dia mungkin sedang menangis atau tertekan tetapi ternyata cikgu silap. Dia tidur di dalam kelas rupanya! Aduhai...
          Rasa mengantuk ketika di dalam kelas boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Lebih-lebih lagi ketika badan terlalu letih, kekenyangan, persekitaran dan ada ketikanya tanpa sebarang sebab. Mengenai pelajar tadi, entahlah apa sebabnya dia tidur di dalam kelas. Tetapi hari ini cikgu ingin kongsikan beberapa tips untuk membantu anda saat mata semakin layu ketika berada di dalam kelas.

·         HAMPIRI KAWASAN BERCAHAYA
Mungkin keadaan kelas anda suram menyebabkan anda mudah untuk melelapkan mata. Sekiranya keadaan kelas gelap atau suram, hidupkan lampu atau duduk berhampiran tingkap supaya cahaya yang menerangi itu dapat mengembalikan kesegaran mata dan minda. Justeru, hampirlah tingkap atau pintu dan lontarkan pandangan anda ke luar seketika. Tetapi jangan pula anda duduk lama-lama di situ sehingga menganggu pembelajaran di kelas.

·         BASUH MUKA
Mintalah izin daripada guru untuk pergi membasuh muka supaya kesegaran wajah kembali lalu membugarkan mata anda semula daripada terus layu. Tetapi janganlah pula lepak di tandas atau mencari alas an untuk ponteng kelas. Lakukan ‘basuh muka’ sebenar-benarnya!

·         BERBINCANG / BERCAKAP
Luangkan masa sedikit untuk berbicara dengan rakan-rakan. Bincangkan topik yang bersesuaian atau berjenaka sesama mereka. Tetapi berpada-padalah ketika berbincang atau bercakap, rendahkan suara dan tidak terlalu leka sehingga menggangu pembelajaran anda ataupun pelajar lain.

·         SENAMAN RINGAN
Senaman ringan seperti menggerakkan anggota badan termasuklah kepala, tangan, kaki atau berjalan santai juga boleh anda lakukan untuk menghilangkan rasa mengantuk. Ini kerana gerakan-gerakan itu dapat menghambat saraf yang menyebabkan rasa kantuk. Elakkan juga anda duduk tanpa bergerak dalam tempoh yang agak lama. Bangunlah buat seketika dan gerakkan anggota tubuh badan anda itu.

·         PANDANG PEPOHON HIJAU
Keluarlah sebentar ke kawasan koridor kelas anda dan pandanglah pepohon hijau yang merimbun di luar kelas untuk beberapa minit lalu masuk semula ke kelas dan menyambung pembelajaran anda semula. Dipercayai bahawa pepohon hijau mempunyai aura yang luar biasa dan mungkin boleh menghapuskan rasa mengantuk anda. Pastikan anda masuk semula kelas selepas itu bukannya mencari alasan untuk ponteng!

TERIMA KASIH KERANA MENGUNJUNGI BLOG KAMI

HORMATILAH IBU BAPA KITA!

Salam sejahtera dan salam sayang daripada UBK SEMATES...

Sekejap sahaja masa berlalu. Sedar tak sedar sudah hampir 9 bulan kita berada pada tahun 2011. Bagaikan baru semalam kita menempuh tahun baru. Namun itulah hakikat yang perlu diterima.
          Mengapa cikgu berbicara sedemikian? Entahlah, apabila difikirkan balik kita rupanya semakin tua. Semakin hari kita semakin membesar, semakin berusia, dan semakin dewasa. Namun tanpa kedua ibu bapa, siapalah kita kan? Sebenarnya kita adalah amanah TUHAN yang paling besar dianugerahkan oleh YANG MAHA AGUNG kepada ibu bapa kita. Kita dididik dengan penuh kasih sayang, dibesar dengan makan, minum, pakaian yang cukup dan selesa oleh kedua ibu bapa. Mereka sentiasa sabar melayan karenah dan ragam kita. Setiap pengorbanan yang diberikan tidakpun diminta balasan.
Justeru itu, TUHAN menyeru agar kita mentaati keduanya dan melarang kita melawan ibu bapa walau dengan apa cara sekalipun. Jangan sekali-kali kita menyakiti hati mereka. Sebagai anak, jangan kita alpa dengan tanggungjawab kita untuk belajar bersungguh-sungguh dan hormati mereka setiap masa. Jadi, ingat dan kenangi setiap jasa serta pengorbanan ibu bapa yang telah banyak berkorban dalam mendidik dan membesarkan kita hingga dewasa. Jadilah anak yang menghormati kedua ibu bapanya!

TERIMA KASIH KERANA MENGUNJUNGI BLOG KAMI

TIPS MEMILIH MAKANAN DI RUMAH TERBUKA

Salam sejahtera dan salam sayang daripada UBK SEMATES...


Menjelang Syawal, cikgu pasti anda sudah mula dihujani dengan jemputan rumah terbuka memandangkan ada yang mengatakan syawal tidak bererti tanpa adanya rumah terbuka. Tambahan pula, rumah terbuka merupakan medan bagi menikmati pelbagai juadah yang lazat dan menyelerakan. Namun perlu diingat bahawa kita perlu ‘beringat’ ketika menikmati setiap sajian yang disediakan. Berikut cikgu sediakan tips untuk ‘beringat’ ketika mengunjungi rumah-rumah terbuka:

• ISI PERUT DAHULU SEBELUM KE RUMAH TERBUKA
Sebelum anda ke rumah terbuka, pastikan anda minum segelas air putih atau jamah sedikit buah-buahan. Jika terlupa, cari dan jamahlah ia di rumah terbuka sebelum anda menikmati juadah yang disediakan. Ini akan mengelakkan anda makan terlalu banyak atau ‘over control’.

• PASTIKAN JUMLAH KALORI YANG TERKANDUNG DALAM MAKANAN YANG DIMINATI
Jika boleh, ambillah makanan yang mengandungi kalori rendah seperti makanan yang kurang berlemak, kurang berminyak atau manis. Banyakkan makanan yang mempunyai serat seperti sayur-sayuran / salad, buah-buahan. Tetapi jika ingin juga menikmati lemang atau rendang, pastikan anda mengambilnya dengan menggunakan piring supaya kuantitinya sedikit. Tetapi pastikan anda TIDAK BERULANG ke meja hidangan untuk mengambil makanan yang sama!

• NIKMATI MAKANAN SECARA PERLAHAN-LAHAN.
Jika anda makan dengan cepat, mungkin anda tidak dapat mengawal nafsu makan lalu menambah makanan dengan cepat sehingga anda tidak sedar yang anda telah makan dengan berlebihan. Kunyah perlahan-lahan dan nikmatilah makanan yang sedang anda kunyah itu.

• JANGAN DUDUK SAHAJA SELEPAS MENIMATI HIDANGAN
Tentu di rumah terbuka terdapat kawan-kawan kan? Pergilah berjalan-jalan atau bercakap-cakap dengan mereka. Boleh juga anda bermaaf-maafan, semoga dosa anda yang lalu terhapus pada hari itu. Kemudian amalkan ‘teknik’ berjalan, tidak kiralah berjalan ke rumah semasa pulang atau bersenam dengan berjalan di dalam rumah. Bakar sedikit kalori yang telah anda makan. Bukannya baring dan terus tidur kerana kekenyangan!!

Maka, jadilah manusia yang bijak semasa menghadiri rumah terbuka. Janganlah rambang mata ketika menikmati hidangan yang banyak di atas meja itu nanti! Nanti mulalah merungut: “alah, aku dah gemuklah!” haha... padan muka... Ingat....



TERIMA KASIH KERANA MENGUNJUNGI BLOG KAMI

Sunday, 18 September 2011

PAMERAN DAN AKTIVITI KERJAYA SMKTE 2011

Salam sejahtera dan salam sayang dari UBK SEMATES...

Baru-baru ini UBK SEMATES dan dibantu oleh PRS SEMATES telah mengadakan program kerjaya khas untuk pelajar-pelajar tingkatan 5 dan 6 serta pelajar tingkatan 2 sebagai pendedahan kepada mereka mengenai peluang-peluang pengajian selepas SPM/STPM kelak. Pelajar tingkatan 2 pula diberi peluang untuk meneroka kerjaya yang diminati seterusnya membentuk matlamat dan cita-cita. 

Sungguh tidak sangka, walaupun program ini ditunda selama dua tahun, sambutan pelajar dan pihak luar ternyata di luar dugaan.

Perkara            : Pameran Pendidikan Kerjaya 2011    
Tarikh              : 19 Julai 2011 (Selasa)
            Masa                : 8.30 pagi – 6.00 petang
            Tempat           : Dewan Blok B, SMK Taman Ehsan
            Pelajar terlibat: Ting 6, 5 dan 2
 
Berikut antara gambar-gambar program:



TERIMA KASIH KERANA MENGUNJUNGI BLOG KAMI

CAWAN DAN KOPI…

Sekumpulan bekas pelajar yang mempunyai kedudukan dan tahap yang tinggi dalam kerjaya mereka telah mengikuti perjumpaan semula / ‘reunion’  di rumah guru kaunseling mereka semasa di sekolah dahulu.

Mereka berbual-bual tentang pelbagai topik dan akhirnya perbualan itu bertukar kepada luahan rasa stress atau tekanan yang mereka hadapi di tempat kerja ataupun kehidupan mereka.

Guru kaunseling mereka masuk ke dapur dan kembali semula dengan sebuah teko besar berisi kopi dan bermacam jenis cawan dan gelas. Ada yang diperbuat dari porcelain, plastik, kaca, malah ada juga yang diperbuat daripada kristal. Ada yang kelihatan biasa dan ada yang kelihatan mahal.

Guru kaunseling itu menyuruh mereka menuang sendiri kopi tersebut.

Kemudiannya pelajar-pelajar itu memandang antara satu sama lain, mereka kelihatan teragak-agak untuk mengambil cawan yang pelbagai di atas dulang. Namun beberapa ketika, mereka tersenyum dan mula mengambil cawan masing-masing dan menuang kopi. Selepas beberapa ketika, guru kaunseling itu berkata:

"Jika kamu semua perasan, semua cawan yang cantik dan mahal telah diambil berbanding cawan yang biasa dan kelihatan murah. Memang kebiasaan kamu semua mahukan yang terbaik dalam hidup kamu tetapi itulah punca kepada masalah dan stress yang kamu semua hadapi"

"Apa yang sebenar kamu perlukan adalah kopi, bukan cawannya tetapi kamu sendiri telah memilih untuk menganbil cawan yang terbaik. Dan lebih teruk dari itu, kamu turut memerhatikan cawan yang diambil oleh orang lain."

Dalam perumpaan di atas, boleh dirumuskan bahawa kehidupan diibaratkan seperti kopi manakala kerjaya, wang dan kedudukan anda dalam masyarakat adalah cawan tersebut. Cawan itu hanyalah alat untuk mengisi kandungannya iaitu kehidupan. Kehidupan tidak berubah hanya alatnya yang berubah. Kadangkala kita terlalu fokus kepada cawan yang kita pegang hingga kita gagal untuk menikmati kopinya.

Jadi, nikmatilah kehidupan yang ada...

TERIMA KASIH KERANA MENGUNJUNGI BLOG KAMI

MUKADIMAH

Dalam dunia ICT yang serba moden ini, laman interaktif dan laman sosial nampaknya amat berkesan dalam menyalurkan maklumat dan berkongsi rasa antara satu sama lain. Seiring dengan itu, Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Taman Ehsan (UBK SEMATES) turut tidak melepaskan peluang dalam membina dan membangunkan blog yang beralamat ubk-smkte.blogspot.com ini. 

Laman blog ini mempunyai beberapa Dinding / Wall yang boleh dikongsi bersama seperti berikut:
·         UTAMA              - pelbagai maklumat dipaparkan meliputi pengumuman, peringatan, pemberitahuan, perkongsian, laporan dan lain-lain yang berkaitan.
·         MENGENAI UBK  - maklumat asas mengenai Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Taman Ehsan
·         PEMBIMBING RAKAN SEBAYA   – maklumat-maklumat mengenai PRS, perkhidmatan,  senarai ahli, dan aktiviti terkini PRS
·         AKTIVITI            - makluman mengenai pelbagai aktiviti yang dirangka mengikut takwim dan keperluan semasa (mencakupi bidang-bidang UBK) 
·         GBKSM              - biodata guru bimbingan dan kaunseling sepenuh masa yang berkhidmat di UBK SEMATES
·         PENGAJIAN & KERJAYA           - maklumat kerjaya terkini dan lain-lain yang berkaitan.
·         MOTIVASI           - perkongsian ilmu / cetusan rasa GBKSM

Untuk pengetahuan semua, setiap GBKSM / Kaunselor akan bersama dengan anda mengikut giliran. Para pelayar boleh melayari ruangan BORAK untuk sebarang masalah, perkongsian maklumat mahupun pertanyaan mengikut jadual berikut:
HARI GBKSM SINGKATAN
ISNIN PN CHIAH LAY GEOK CHIAH
SELASA PN NOOR AZWIENA AZWIENA
RABU CIK SARASWATHY SARAS
KHAMIS PN ROSZIYANIE ROZIE
JUMAAT CIK SALLY CHAI SALLY

Mereka juga akan bersama-sama anda mengikut giliran di atas menerusi laman Facebook, UBK Semates atau email ubksmkte@yahoo.com

Namun adalah diingatkan supaya para pelayar tidak menyalahgunakan perkhidmatan ini serta tidak menyentuh sebarang isu-isu sensitif/keagamaan/perkauman/politik. Semoga maklumat yang dipaparkan dapat membantu semua pihak yang melayari laman blog ini.
Terima kasih. Selamat melayari blog UBK SEMATES!


TERIMA KASIH KERANA MENGUNJUNGI BLOG KAMI

Monday, 12 September 2011

Maafkan Kami...




Laman Blog ini masih dalam PROSES PENAMBAHBAIKAN. Laman blog ini akan dapat dipaparkan dalam jangka masa yang terdekat. Segala kesulitan amat dikesali.... Kesabaran anda juga amat dihargai!!

TERIMA KASIH KERANA MENGUNJUNGI BLOG KAMI

copyright by SMK TAMAN EHSAN